Sunday, October 17, 2010

Petua Penjagaan Rambut









Petua yang paling terkenal di kalangan orang Melayu kita ialah penggunaan santan. Khasiatnya memang terkenal untuk melembut serta melebatkan rambut. Caranya mudah, ambil kelapa tua & perah pekat2. Biarkan sejam agar patinya naik, baru disapu pada rambut. Gunakan jari atau sikat bergigi jarang. Balut dengan tuala bersih dan perap setengah jam. Selain itu, minyak kelapa yang dibuat sendiri juga baik untuk merawat rambut kering, pecah hujung serta mudah gugur. Caranya mudah, perah santan daripada 2 atau 3 biji kelapa tua. Ambil yang pekat saja (2 kali perah). Kemudian jerang di dalam kuali besar tebal. Sebaik-baiknya guna dapur kayu kerana tempoh memasak minyak kelapa ini sangat lama (hampir sehari suntuk). Kemudian biarkan ia sejuk dan baru dijaram pada kepala. Selain itu, minyak bijan juga elok untuk melebatkan rambut. Agar lebih harum, campur minyak dgn bunga melur atau bunga melati & daun pandan. Bagi mengelakkan hapak, pastikan sisa minyak dibasuh bersih. Wanita Jawa pula gemar menggunakan abu batang padi untuk mencuci rambut. Biasanya batang padi yang baru dituai, dibakar. Kemudian direndam semalaman, baru ditapis. Guna hampas tapisan batang padi untuk mencuci rambut, kemudian bilas dengan air rendamannya. Selepas itu baru dicuci dengan air biasa sebersih-bersihnya. Bagi menghilangkan kelemumur, campur air perahan limau nipis dengan sedikit air dan sapu pada kulit kepala. Ada juga yang rajin mengumpul embun pada awal pagi dan diusap-usap pada pangkal rambut. Ia dipercayai mempercepatkan pertumbuhan rambut serta mengelakkan sakit kepala. Selain itu, lendir daun bunga raya atau gel lidah buaya elok disapu pada kulit kepala untuk menyejukkan serta mengelakkan rambut gugur. Ia juga bertindak sebagai perapi. Di kalangan wanita barat, penggunaan minyak buah pic, ginseng dan minyak bunga kesumba digunakan dengan meluas untuk mengatasi rambut gugur. Ada juga yang menggunakan gel pokok kektas dan daun lidah buaya. Wanita Cina dan Jepun pula menyukai pelbagai jenis akar ginseng, teh herba Cina dan halia untuk merawat rambut. 

No comments:

Post a Comment